Temu Anwar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Temu Anwar merupakan program dialog golongan belia bersiri dan sinonim dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Program ini dianjurkan bermula tahun 2009 dan terus mendapatkan sambutan yang positif. Program ini diadakan khusus bagi memberi ruang kepada setiap lapisan masyarakat terutama golongan belia untuk mengutarakan persoalan secara langsung kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. Program tersebut turut disiarkan secara langsung di saluran seperti RTM Malaysia.[1][2]

Dalam program ini, perkara yang dibincangkan dengan Perdana Menteri adalah berkaitan dengan isu yang dihadapi oleh golongan belia. Sebagai contoh, semasa program Temu Anwar ini diadakan di IPTA, golongan belia iaitu mahasiswa diberikan kebebasan dan peluang untuk bertanyakan soalan dalam sesi Temu Anwar yang dihadiri oleh ramai mahasiswa dan orang awam dari luar. Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyantuni ribuan anak muda dalam program Temu Anwar ini bagi menjawab pelbagai soalan secara santai dan terbuka. Antaranya termasuklah isu semasa berkaitan peluang pekerjaan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan ekonomi. Semasa program Temu Anwar, pelajar juga menyatakan masalah yang mereka hadapi dengan harapan permasalahan tersebut dapat didengari dan diambil serius oleh pihak kerajaan. Contohnya, semasa siri di Universiti Malaysia Sabah pada 31 Mei 2023, seorang wakil Majlis Perwakilan Pelajar menyatakan tentang isu masalah air di universiti itu.[3][4]

Kronologi[sunting | sunting sumber]

Dialog Anak Muda Temu Anwar, di Pusat Konvensyen Kuala lumpur (KLCC)[sunting | sunting sumber]

Pada 19 Mac 2023, lebih 8,000 anak muda telah menghadiri sesi dialog temu Anwar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur Convention Centre.[5] Minds 4 Malaysia dan Yayasan Go Strong Malaysia adalah pihak yang menganjurkan Forum dan Eksposisi Pemerkasaan Anak Muda 2023 (Youth Empowerment Fair 2023)[6]. Objektif utama YEF 2023 adalah untuk memperkasa dan mempersiapkan anak muda negara dalam menghadapi cabaran pekerjaan, keusahawanan dan pendidikan. Tokoh-tokoh usahawan, korporat, pemikir dan ahli akademik telah dikumpulkan bagi mengupas isu-isu utama bagi menarik minat anak muda. Program Temu Anwar bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membuka peluang kepada para pelajar serta belia untuk berinteraksi dan menyuarakan pendapat terus kepada YAB Perdana Menteri. Hampir 100 soalan telah diterima oleh YAB Perdana Menteri berhubung pelbagai perkara termasuk pengangkutan awam, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan peluang pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk anak muda. Program Temu Anwar juga dikendalikan oleh Kelab Anwar Ibrahim (AIC) yang berjaya meraih sambutan yang amat menggalakkan sejak pertama kali beliau diangkat menjadi Perdana Menteri.

Santai Petang dan Dialog bersama YAB Perdana Menteri di Langkawi[sunting | sunting sumber]

Pada 24 Mei 2023, Santai Petang dan Dialog bersama YAB Perdana Menteri telah berlangsung di Dewan Gunung Mat Chinchang Kolej Vokasional Langkawi, Kedah[7]. Program ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar golongan muda sentiasa melihat dan mengkaji sesuatu informasi atau maklumat sebelum membuat sebarang keputusan. Hasrat Anwar Ibrahim kepada anak muda adalah agar anak muda tidak menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas diri mereka. Menurut Perdana Menteri, seorang insan anak muda yang baik itu perlulah mempunyai nilai dari segi keyakinan dan minat hendak bawa perubahan, minat dalam menimba ilmu, minat dan cita-cita membawa kebaikan, itu yang disebut idealisme. Di dalam program ini, Perdana Menteri menzahirkan harapan terhadap golongan anak muda agar tidak terpedaya dengan agenda politik oleh sesetengah pihak tertentu sebaliknya anak muda seharusnya dilatih untuk membuat penilaian dengan baik terhadap sesuatu perkara[8]. Persoalan berkenaan e-Tunai Belia Rahmah juga turut diajukan kepada Menteri Kewangan oleh seorang pelajar wanita yang mendakwa pembayaran tersebut lewat diberikan kerana mendapat maklumat menerusi aplikasi Tiktok. Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menjelaskan pembayaran e-Tunai akan dibuat pada bulan Jun dan bukannya pada bulan Mei 2023. Belia yang berusia 18 hingga 20 tahun bakal memperoleh kredit e-Tunai berjumlah RM200 akan disalurkan pada Jun 2023 menerusi peruntukan sebanyak RM400 juta yang akan disediakan oleh pihak kerajaan.[9][10]

Temu Anwar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu[sunting | sunting sumber]

Temu Anwar yang berlangsung selama satu jam di Universiti Malaysia Sabah telah mendapat sambutan yang memberangsangkan iaitu kira-kira 5,000 pengunjung telah menghadiri program tersebut termasuk pelajar dari pelbagai universiti dan orang ramai. Temu Anwar yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 31 Mei 2023 yang merupakan Program Temu Anwar yang pertama di kepulauan Borneo selepas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.  Pelbagai persoalan yang diajukan kepada Perdana Menteri dan salah satu persoalan yang diajukan oleh wakil pelajar adalah berkenaan isu masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta solusi bagi mengatasi masalah tersebut. YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengumumkan kelulusan peruntukan sejumlah RM3 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS)[3][11]. Peruntukan tersebut diluluskan kerana tidak mahu isu gangguan bekalan air ini mengganggu pembelajaran mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Perdana Menteri juga turut meminta Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Mansor untuk menulis surat mengenai keperluan melaksanakan projek tersebut. Usaha ini menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah itu. Terdapat juga persoalan lain yang dikemukakan oleh wakil pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di Sabah berkenaan isu tiket penerbangan yang mahal. Menjawab persoalan tersebut Anwar Ibrahim menjawab penerbangan merupakan urusan syarikat swasta, maka tiada subsidi yang boleh ditawarkan. Walaubagaimanapun, usaha kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dapat mengadakan sewa khas bagi membolehkan kadar tiket penerbangan menjadi RM300 seperti semasa perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai. Kerajaan juga menyokong cadangan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mewujudkan syarikat penerbangan baharu Sarawak serta bersama-sama kerajaan Sabah untuk menurunkan kos penerbangan bagi membantu mewujudkan kos tambang yang berpatutan.

Temu Anwar di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang[sunting | sunting sumber]

Pada 11 Jun 2023, seramai 5,000 orang termasuk pelajar pelbagai universiti dan orang ramai menghadiri Program Temu Anwar di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM). Lokasi program di Pulau Pinang merupakan siri ketiga selepas perjumpaan di Univesiti Malaysia Sabah pada 31 Mei. Namun begitu, beliau meminta maaf atas kelewatannya ke lokasi disebabkan pesawat rasmi rosak.[12]

Semasa program dijalankan, sebanyak tujuh soalan ditujukan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, termasuk isu doktor kontrak; pemansuhan Ujian Penilaian Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Tambahan pula, ada perwakilan pelajar yang menujukan permintaan kepada Menteri Kewangan agar memberikan peruntukan lebihan untuk bas susulan. Permintaan ini selaras dengan masalah bahawa bas sedia ada tidak cukup untuk kegunaan pelajar termasuk kampus induk di Gelugor. Dalam masa yang sama, isu mengenai garis panduan baharu bagi elaun latihan industri bagi graduan serta mewujudkan semula sudut pidato (speaker corner) di universiti juga dikemukakan.

Program tersebut juga dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor USM, Prof Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed.[13]

Impak[sunting | sunting sumber]

Anak muda yang bersifat ingin tahu mendapat ruang dan peluang untuk sesi dialog bersama persona elit, berpengetahuan tinggi dan kaya dengan pengalaman mahal iaitu Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim. Perkongsian ilmu, tip-tip dan pengalaman secara langsung daripada beliau sendiri dapat membuka mata dan minda belia supaya lebih berfikiran bebas, terbuka dan analitikal. Sebagai contohnya, terdapat anak muda yang mengutarakan hasratnya kepada Dato Sri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan semula sudut pidato (speaker corner) di universiti. Pendedahan program-program sebegini dapat membentuk anak muda Malaysia yang berminda kelas pertama sehingga mampu menjadi tonggak utama dalam pembentukan Malaysia baharu.

Aura Dato Sri Anwar Ibrahim telah meninggalkan impak yang cukup signifikan terhadap audiens. Sifat dan kriteria beliau yang sangat positif, progresif serta idea yang bernas sejajar dengan penggunaan laras bahasa dapat memberikan aura yang cukup istimewa buat anak muda. Tidak dapat dinafikan belia akan mencontohi dan mengidolakan Menteri Kewangan yang pada masa yang sama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia terkini. Hal ini akan menjadi inspirasi buat anak-anak muda supaya berfikiran secara lebih berkelas daripada sebelumnya.

Sehubungan dengan itu, Temu Anwar juga dapat memberi harapan baru dan kepentingan terutamanya kepada anak-anak muda. Program ini menjadi platform untuk anak muda bertanya secara langsung dan menuntut hak-hak mereka yang sepatutnya. Sesungguhnya, Temu Anwar bukanlah program yang hanya membincangkan isu-isu ekonomi masyarakat sahaja, sebaliknya untuk dipertimbangkan supaya dilaksanakan dengan jayanya demi kepentingan anak-anak muda dan komuniti Malaysia. Misalnya, lambakan permohonan SPA di Malaysia berlaku kerana kapasiti peluang pekerjaan yang terhad ditukarkan kepada pengenalan peluang pekerjaan berasaskan TVET. TVET mampu membuka peluang yang besar terhadap anak muda untuk menjana pendapatan, meningkatkan kemahiran dan literasi terhadap teknologi agar mampu bersaing dalam pembangunan ekonomi negara. Sama halnya dengan tuntutan elaun bagi latihan indsutri untuk graduan. Garis panduan baharu akan diwujudkan demi menjaga kepentingan anak muda yang berada dalam fasa latihan industri dan latihan mengajar.[5]

Impak yang seterusnya ialah menambahkan ilmu anak-anak muda terhadap ekonomi, sosial dan politik negara. Program Temu Anwar mampu memecahkan stigma anak muda terutamanya pelajar-pelajar universiti bahawa kehidupan di universiti bukan sahaja untuk memenuhi keperluan untuk berkuliah dan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah tetapi sebaliknya anak muda juga perlu melibatkan diri dalam isu-isu negara. Anak-anak muda tidak wajar untuk berkecuali dalam hal ini kerana merekalah yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Temu Anwar yang diulaskan sendiri oleh personaliti khas Anwar Ibrahim mampu ‘menyekolahkan’ anak muda untuk mengetahui dasar-dasar negara seperti pengangkutan awam. pendidikan, dan latihan teknikal dan vokasional.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Temu Anwar di Kelantan Ahad ini, orang ramai dipelawa hadir". selangorkini. 16 Jun 2023. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  2. ^ Ibrahim, Anwar (4 Mac 2023). "Anwar Ibrahim on Instagram "Temu Anwar merupakan program dialog..."". Instagram. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  3. ^ a b Roslan, Suraidah (31 Mei 2023). "Peruntukan RM3 juta selesai masalah air di UMS – Anwar". Utusan Malaysia. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  4. ^ a b Faruqi, Irfan (19 Mac 2023). "Dialog terbuka PM bersama belia petang ini". Astro Awani. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  5. ^ a b Humairah Sejahan, Zareen (19 Mac 2023). "Lebih 8,000 anak muda hadir temu Anwar". Utusan Malaysia. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  6. ^ "Hebahan Penganjuran Persidangan Forum dan Eksposisi Pemerkasaan Anak Muda (Youth Empowerment Fair 2023)". Universiti Malaysia Sabah (UMS). 17 Mac 2023. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  7. ^ "Santai Petang Dan Dialog Bersama Perdana Menteri Di Langkawi Esok". Getaran. 23 Mei 2023. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  8. ^ Haziq, Ammar (25 Mei 2023). ""ANAK MUDA PERLU KAJI SEBELUM BUAT KEPUTUSAN"". KedahGazette. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  9. ^ Akmar Idros, Norlida (24 Mei 2023). "PM sahkan e-Tunai Belia Rahmah dibayar bulan depan". Kosmo!. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  10. ^ Sahaludin, Azleenda (25 Mei 2023). "e-Tunai Belia Rahmah akan diagihkan mulai bulan depan". Sinar Bestari. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  11. ^ "Anwar umum peruntukan RM3 juta atasi masalah air di UMS". MalaysiaGazette. 31 Mei 2023. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  12. ^ Azman, Fareez (11 Jun 2023). "Temu Anwar: Pesawat rasmi rosak, PM mohon maaf atas kelewatan". Astro Awani. Dicapai pada 17 Jun 2023.
  13. ^ Abdul Malik, Malinda (11 Jun 2023). "5,000 orang hadir Program Temu Anwar di P. Pinang". MalaysiaGazette. Dicapai pada 17 Jun 2023.